Pada 2hb Januari yang lepas saya berkesempatan dalam satu misi bantuan kepada mangsa banjir di daerah Temerloh, Pahang. Pada ketika itu daerah Temerloh merekodkan jumlah mangsa banjir teramai iaitu 19,875 orang daripada 4,831 keluarga di 62 pusat pemindahan.
Jalan dari Jambatan Temerloh ke arah Kg Awah telah boleh dilalui. Dari maklumat penduduk setempat, malam sebelumnya laluan hanya boleh dilalui kenderaan berat.
Penduduk pulang melihat keadaan rumah setelah air mulai surut di beberapa kawasan sekitar Temerloh.
Antara rumah yang dinaiki air sekitar kampung di Chenor.
Limpahan Sungai Pahang menenggelamkan jambatan yang menghubungkan Kampung Awah dan gugusan Felda Jengka
Bot pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia membawa petugas dan penduduk. Limpahan Sungai Pahang menenggelamkan jambatan yang menghubungkan Kampung Awah dan gugusan Felda Jengka.
Petugas bantuan banjir menyediakan pek-pek makanan dan keperluan asas untuk diagihkan di kawasan yang terputus hubungan sekitar Chenor.
Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan rondaan sekitar Kampung Awah dan laluan ke Felda Jengka yang terputus hubungan akibat limpahan dari Sungai Pahang.
Sukarelawan bersedia untuk mengagihkan pek bantuan ke pusat pemindahan sekitar Kampung Paya Ladang. Limpahan air Sungai Pahang menyebabkan beberapa pusat pemindahan terputus hubungan darat. Kampung-kampung yang berada di kawasan persisiran Sungai Pahang seperti Jerantut, Kuala Krau, Temerloh dan Bera dilanda banjir selepas Taman Negara Kuala Tahan dilanda banjir luar biasa.
Jalan utama antara Kampung Awah dan Pekan Awah dinaiki air sedalam hampir 1.5 meter menyebabkan hanya kenderaan berat dan pacuan 4 roda sahaja boleh melaluinya.
Helikopter pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendaratkan bantuan di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor. Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan ketika itu menampung lebih 700 mangsa banjir sekitar Chenor.
Penduduk kampung berhampiran Temerloh berjalan kaki untuk mengharungi jalanraya yang dilimpahi banjir.
Banjir di daerah-daerah negeri Pahang pada tahun ini dikatakan antara paling buruk pernah melanda. Kawasan yang berada di persisiran Sungai Pahang seperti Jerantut, Kuala Krau, Temerloh dan Bera dilanda banjir selepas Taman Negara Kuala Tahan dilanda banjir luar biasa. Banjir pada tahun ini dilaporkan adalah yang terburuk di Temerloh sejak 26 tahun lalu.
Stadium Temerloh dilimpahi banjir selepas hujan tanpa henti menyebabkan air Sungai Pahang melimpah dan memasuki bandar Temerloh.
Bandar Temerloh dilanda banjir selepas air Sungai Pahang di Temerloh mula melimpah ke penempatan penduduk di sini, pada 27 Disember 2014. Menurut penduduk banjir tahun ini merupakan banjir paling buruk pernah melanda daerah ini.
Kelihatan penduduk kawasan sekitar Temerloh mengambil kesempatan limpahan air Sungai Pahang untuk memasang jaring bagi memerangkap ikan yang hanyut bersama arus sungai.
Leave a reply